top of page

Mandut: Abaikan rakyat Sabah, zaman UPKO sudah berlalu

  • Writer: Admin
    Admin
  • Oct 10, 2020
  • 2 min read

KOTA KINABALU, 11 OKTOBER 2020:


Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) telah banyak kali mengecewakan rakyat Sabah sejak meninggalkan Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan dengan Warisan dua tahun lalu.


“Sebenarnya, UPKO ketinggalan di belakang dalam mempertahankan semua isu mendesak termasuk hal berkaitan dengan agama,  pendatang tanpa izin dan tuntutan Filipina ke atas Sabah.


"Mereka (UPKO) telah mensia-siakan peluang yang ada sepanjang dua tahun berada diposisi Kerajaan. Sepanjang tempoh itu, UPKO juga telah menyokong cadangan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) yang sebenarnya merugikan Sabah dalam jangka masa panjang," tegas Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah, Christoper Mandut.


Mandut menjawab kenyataan Ketua Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang, baru-baru ini yang mempersoalkan pendirian PBS berkenaan pelantikan Setiausaha PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan sebagai ADUN dilantik.


Mandut mengingatkan pemimpin UPKO untuk melihat diri mereka di cermin, kerana kerajaan Sabah terdahulu juga turut bekerjasama dengan parti-parti Malaya iaitu PKR dan DAP.


"Sebenarnya, DAP dan PKR pernah bekerjasama dengan PAS selama lebih dari dua dekad, dan mereka telah membentuk kerajaan bersama. Mengapa mereka (UPKO) tidak mempersoalkan perkara tersebut sebelum ini? Adakah kerana mereka mendapat ganjaran daripada gabungan tersebut?" soal Mandut


Beliau berkata Malaysia mempunyai undang-undang yang menentang ekstremisme agama, dan sebagai pejuang kepada kebebasan beragama, PBS akan memantau dan semak dan imbang dalam memastikan kebimbangan rakyat Sabah, terutama mengenai pelantikan Dr Aliakbar, sebagai ADUN dilantik, tidak terabai.


"PBS, melalui Presiden kami Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, telah menyatakan pandangan parti sebelum pelantikan beliau (Dr Aliakbar), namun kini beliau sudah dilantik, tugasan seterusnya ialah untuk berkerjasama dengan aman demi kemakmuran rakyat Sabah. 


"Namun PBS tidak akan bersekongkol dengan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan konflik dan perpecahan dikalangan rakyat Sabah. Kami telah menyatakan pandangan kami. Patuhilah undang-undang.


"Sememangnya, PBS tidak boleh bergerak sendiri, setiap pihak harus memainkan peranan mereka demi rakyat Sabah," katanya.


Mengenai UPKO, Mandut menegaskan bahawa zaman mereka telah berlalu dan keputusan pilihan raya baru-baru ini jelas membuktikannya.


"Namun, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada UPKO," kata beliau.


Tamat.

Σχόλια


bottom of page