ONGKILI: Setengah juta topeng muka akan diedarkan di seluruh Sabah
- Admin
- May 2, 2020
- 1 min read

KOTA KINABALU, 3 Mei 2020:
Topeng muka akan diedarkan ke semua daerah di seluruh Sabah tidak lama lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata demikian setelah memantau kerja-kerja pembungkusan semula kira-kira 500,000 topeng muka dari Kerajaan Persekutuan di dewan Serbaguna Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini, hari ini.
"Topeng muka ini akan diedarkan kepada pengguna di peringkat daerah di seluruh Sabah. Pengagihan bantuan bekalan diselaraskan oleh Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri melalui Anggota Parlimen (MP) dan wakil DUN (ADUN).
"MP dan ADUN kemudian akan mengagihkannya kepada para petugas barisan hadapan, keluarga berpendapatan rendah dan murid-murid sekolah," katanya.
Beliau, yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, menambah bahawa bulan lalu, lebih kurang 2.52 juta keping topeng muka dari Kerajaan Persekutuan telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri bagi tujuan pengagihan ke daerah-daerah di seluruh negeri.
Beliau turut memuji usaha pegawai dan kakitangan ICU dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dibantu oleh sukarelawan, untuk membungkus semula topeng muka ke bungkusan yang lebih kecil dan siap untuk diedarkan.
"Rakyat dinasihati agar memakai topeng muka apabila berada di tempat awam, terutamanya di tempat yang sesak, untuk mengelakkan sebarang kemungkinan penularan virus Covid-19. Dengan adanya rasa tanggungjawab dan sokongan anda, bersama kita akan dapat mengatasi wabak ini," kata Ongkili
Hadir sama, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Nor, Pegawai Kemajuan Negeri Sabah, Datuk Ruji Ubi dan Pengarah APM Sabah, Kolonel Kamal Mokhtar.
Comentarios